Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Penjara Reman Pulau Pinang memerlukan lebih banyak pakaian perlindungan diri (PPE) untuk dipakai kakitangan bertugas.

Timbalan Penguasa Penjara Reman Pulau Pinang, Azman Husin berkata, sehingga kini PPE sedia ada hanya mencukupi untuk tempoh seminggu sahaja.

Beliau berkata, walaupun kekurangannya tidak kritikal, pihaknya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan terutama jika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu disambung.

"Selain pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan, kami memerlukan PPE bagi kegunaan kakitangan bertugas di sini selain makanan dan bahan mentah kepada tahanan.

"Dianggarkan lebih 300 PPE digunakan setiap hari oleh kakitangan bertugas di sini," katanya kepada media, hari ini.

Azman ditemui ketika mewakili Jabatan Penjara menerima sumbangan 1,000 PPE daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Dalam perkembangan lanjut, Azman berkata, semua kakitangan di penjara itu diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menjalani ujian darah bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19.

"Selepas mereka menjalani ujian calitan sebanyak dua kali dan didapati negatif, kakitangan penjara diarahkan menjalani ujian darah pula.

"Ia bagi memastikan mereka benar-benar tidak dijangkiti Covid-19," katanya.

PKPD Kluster Penjara Reman bermula 15 hingga 27 Oktober membabitkan penutupan jalan dan sekatan jalan raya di tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer.

Laluan berkenaan ialah Jalan Penjara manakala di Jalan Berek dan Jalan Lim Khoon Huat pula, penutupan hanya membabitkan sebahagian jalan berkenaan.

Ia membabitkan seramai 2,298 banduan selain tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai dengan jumlah 610 orang.

AFIF (empat dari kiri) menyerahkan PPE kepada Azman Husain di sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
AFIF (empat dari kiri) menyerahkan PPE kepada Azman Husain di sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 5:14 PM