KEADAAN luar Pusat Jagaan Darul Hanan di Pongsu Seribu, yang ditutup selepas dipercayai terdapat warga emas dijangkiti Covid-19. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN luar Pusat Jagaan Darul Hanan di Pongsu Seribu, yang ditutup selepas dipercayai terdapat warga emas dijangkiti Covid-19. FOTO ihsan pembaca
BERNAMA

Kepala Batas: Pusat Jagaan Darul Hanan, Pongsu Seribu di Kepala Batas, di sini, mengambil langkah segera mengasingkan dan arahan kuarantin ke atas penghuni serta pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan sejumlah warga emas yang dipercayai dijangkiti Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Jahara Hamid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas berhubung jumlah penghuni yang dijangkiti Covid-19 kerana belum menerima maklumat lengkap.

"Kami di Darul Hanan memang mengambil langkah segera dan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketika ini terdapat kira-kira 70 penghuni di situ.

"Berhubung sama ada penghuni di situ dijangkiti Covid-19, saya tidak boleh beri sebarang komen, kena tunggu kenyataan (KKM)," katanya di sini hari ini.

Ditanya sama ada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan penghuni yang positif Covid-19 perlu menjalani ujian saringan Covid-19, beliau memaklumkan perkara itu akan dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalid ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut dan meminta menunggu kenyataan akhbar berhubung Covid-19 daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Difahamkan seorang wanita warga emas yang baru masuk ke situ minggu lalu disahkan positif Covid-19 kelmarin dan ujian saringan ke atas kontak rapatnya di pusat jagaan itu mendapati tujuh lagi warga emas turut positif.

Sementara itu, tinjauan di kawasan pusat jagaan itu mendapati polis menjalankan pengawasan bagi memastikan orang luar tidak masuk ke dalam pusat jagaan berkenaan.

Selain itu, pihak petugas KKM juga dilihat masuk ke kawasan pusat jagaan itu dipercayai untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Darul Hanan boleh menampung jumlah maksimum warga emas seramai 200 orang bagaimanapun buat masa ini, hanya 70 warga emas terdiri daripada 50 wanita dan 20 lelaki menghuni pusat jagaan tersebut.

Darul Hanan dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seluas 3.2 hektar bagi penempatan dan penjagaan warga emas Islam lelaki dan perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 3:18 PM