LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kematian seorang bayi berusia 20 hari di Tanjung Kupang, Gelang Patah, dekat sini, petang semalam, disahkan tiada sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat ke atas bayi berkenaan, hari ini.

"Tiada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap kematian bayi berkenaan, malah bedah siasat mendapati bayi itu menghidap jantung berlubang.

"Namun analisis kimia masih dijalankan sama ada bayi berkenaan tersedak susu atau ada komplikasi penyakit lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, media melaporkan bayi berusia 20 hari maut dipercayai akibat tersedak susu, di Tanjung Kupang, Gelang Patah, dekat sini, petang semalam,

Dalam kejadian 3.07 petang itu, bayi perempuan berkenaan ditemui tidak sedarkan diri oleh bapa angkatnya yang berusia 35 tahun.

Dzulkhairi dilaporkan berkata, lelaki itu kemudian menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayi terbabit disahkan sudah meninggal dunia.

"Ketika kejadian bayi berkenaan dipercayai sedang menyusu di rumah sewa lelaki berkenaan di Tanjung Kupang.

"Mangsa kemudian mendapati anak perempuannya itu tidak bergerak dan disyaki sudah meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.

"Mangsa menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayinya itu disahkan sudah meninggal dunia, " katanya.

Berita berkaitan

'Bayi 20 hari maut tersedak susu'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 1:45 PM