AZAM ketika ditemuramah oleh siaran radio MACC FM di Putrajaya. FOTO Ihsan SPRM
AZAM ketika ditemuramah oleh siaran radio MACC FM di Putrajaya. FOTO Ihsan SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tidak ada istilah 'double standard' bagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat salah laku atau rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya tidak pernah melindungi pegawainya yang didapati melakukan salah laku mahupun rasuah.

"Tiada pegawai (SPRM) akan diberikan perlindungan sekiranya melakukan salah laku atau rasuah.

"Malah, kami dipantau oleh jawatankuasa aduan terdiri daripada ahli profesional badan bebas sekiranya berlaku isu salah guna kuasa atau rasuah.

"Setakat ini, tiada banyak kes dan hanya membabitkan satu atau dua kes dalam tempoh lima hingga enam tahun apabila SPRM siasat serta tuduh pegawai kami sendiri tanpa ada belas kasihan," katanya dalam temubual secara langsung pada slot 'SPRM 360' di MACCfm, hari ini.

Azam berkata, pihaknya akan membuat siasatan sebaik menerima aduan membabitkan pegawainya terbabit dalam salah laku atau rasuha.

"Sebelum menjadi KP (Ketua Pesuruhjaya SPRM), empat pegawai dibuang kerja atas cadangan saya sendiri dan diperakui oleh jawatankuasa aduan kerana isu seperti datang lewat serta ponteng kerja.

"Bukan pegawai seperti itu yang diperlukan kerana SPRM (adalah agensi) bertanggungjawab menjalankan amanah rakyat dalam isu salah laku serta rasuah," katanya.

Mengulas mengenai arahan yang diterima SPRM daripada pihak atasan atau sebaliknya, beliau berkata, pihaknya tidak dipengaruhi mana-mana pihak atasan termasuk Perdana Menteri.

"Sebagai badan bebas, kami tidak menerima arahan atau pengaruh daripada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri.

"Ini kerana kami selaku badan eksekutif yang tidak ada kekangan untuk melakukan siasatan.

"Setiap aduan dan maklumat berasas yang diterima, pastinya akan ada siasatan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 3:12 PM