KAWASAN R&R Elmina arah utara ditutup sementara selama empat bulan. FOTO ihsan PESB
KAWASAN R&R Elmina arah utara ditutup sementara selama empat bulan. FOTO ihsan PESB
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: PROLINTAS Expressway Sdn Bhd (PESB) pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan menutup sepenuhnya kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Elmina arah utara selama empat bulan bermula 7 Oktober depan untuk kerja penambahbaikan.

PESB menerusi kenyataannya hari ini, berkata, R&R itu dijadualkan untuk dibuka semula pada pertengahan Februari 2021.

Justeru, katanya, semua gerai dan kemudahan seperti tandas dan surau tidak beroperasi sepanjang tempoh berkenaan untuk memberi laluan kepada kerja penambahbaikan itu.

"Kerja penambahbaikan ini adalah komitmen berterusan Kumpulan PROLINTAS dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh raya kami.

"Untuk memastikan keselesaan pengguna tidak terkesan, GCE akan menyediakan kemudahan sementara di kawasan Hentian Sebelah Lagong, kira-kira 10 kilometer dari R&R Elmina arah utara.

"Antara kemudahan yang disediakan di Hentian Sebelah Lagong adalah tandas, surau, gerai makanan serta tempat parkir/rehat," katanya.

Menurut kenyataan, enam tandas bergerak juga sudah mula disediakan sebagai tambahan kepada tandas sedia ada di hentian berkenaan.

Selain itu, bagi memastikan keselamatan pengguna di situ, pengawal keselamatan ditugaskan 24 jam sehari selain lampu limpah dipasang bagi memastikan kawasan sentiasa terang dan selamat.

"Untuk sebarang pertanyaan, hubungi talian bebas tol GCE 1-300-88-0035. Bagi mendapatkan info trafik terkini GCE, sila ikuti laman Twitter @GCEtrafik manakala untuk mengetahui maklumat lengkap berkaitan GCE, sila layari http://www.prolintas.com.my atau Facebook PROLINTAS Highways," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 4:40 PM