SALAH sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan dibawa masuk ke Jeti APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
SALAH sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan dibawa masuk ke Jeti APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam selepas hampir dua jam mengejar kedua-dua bot terbabit, semalam.

Kedua-dua bot nelayan asing itu dikesan sedang menangkap ikan secara tunda ganding pada jarak 130 serta 131 batu nautika dari perairan Kemaman kira-kira 10.53 dan 11.20 pagi.

Pengarah APMM Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kapal maritim Gemia yang sedang melakukan rondaan Ops Iman dan Ops Kuda Laut mengesan kehadiran bot terbabit lalu bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua bot terbabit bertindak memotong pukat lalu melarikan diri.

"Kita mengejar kedua-dua bot terbabit sejauh 12 batu nautika sebelum berjaya memintas dan menahan mereka.

"Pemeriksaan mendapati nelayan asing terbabit gagal menunjukkan lesen bot dan dokumen pengenalan diri serta tiada kebenaran menangkap ikan dalam perairan negara.

"Selepas diperiksa, kita merampas hasil laut seberat kira-kira satu tan, diesel serta peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Kemaman, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua nelayan asing dan bot terbabit dibawa ke Jeti Zon APMM Kemaman untuk menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pasukan kesihatan sebelum siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 5:52 PM