Rafiqah Dahali 

Kota Kinabalu: "Bantuan kerajaan Persekutuan tiba ketika saya amat memerlukannya dan saya akan ingat sampai bila-bila," kata Siti Karimah Sarahani, 43, pemilik spa dan butik kecantikan Image Beauty di sini.

Menurutnya, pengumuman bantuan tambahan menerusi Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin diumumkan Perdana Menteri kelmarin umpama sinar kembali menerangi hidupnya untuk meneruskan perniagaan.

Menerusi Kita Prihatin bernilai RM10 bilion diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro seperti Siti Karimah mendapat manfaat terutama menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) dengan peruntukan keseluruhan RM600 juta.

"Alhamdulillah, bantuan seperti ini ditunggu-tunggu dan diharapkan peniaga seperti kami kerana membuka ruang untuk memperluas perniagaan.

"Sejak awal, Perdana Menteri mengambil berat nasib usahawan dan membuktikan kerajaan mendengar rintihan rakyat," katanya.

Permohonan GKP dibuka semula kerana Perdana Menteri mahu memberi peluang kedua kepada peniaga mikro tercicir sebelum ini memperoleh bantuan itu.

Muhyiddin ketika mengumumkan pembukaan semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober ini berkata, geran itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 200,000 peniaga mikro.

Kita Prihatin adalah kesinambungan beberapa siri inisiatif bantuan diumumkan kerajaan sebelum ini termasuk menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu usahawan mikro terjejas perniagaannya akibat Covid-19.

SITI Karimah berharap insentif dapat membuka ruang untuk  memperluaskan perniagaan.
SITI Karimah berharap insentif dapat membuka ruang untuk memperluaskan perniagaan.

Bagi Siti Karimah, beliau mendapat pembiayaan RM10,000 daripada TEKUN Nasional menerusi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM).

"Tiga bulan utup operasi, saya hilang punca pendapatan dan bermula semula dari bawah. Bingung juga memikirkan jika kedai terpaksa ditutup sehingga saya menggunakan semua simpanan untuk menampung perbelanjaan," katanya.

Keresahannya berakhir sebaik mendengar pengumuman Muhyiddin mengenai inisiatif Penjana membantu PKS mikro.

Siti Karimah segera mencari maklumat bagi memohon bantuan bersesuaian dengan perniagaannya sebelum diluluskan dalam tempoh kurang dua bulan.

Bantuan RM10,000 diperoleh digunakan untuk membayar sewa premis dan membeli stok baharu peralatan kegunaan spa serta berjinak-jinak dengan pemasaran produk menerusi laman sosial kerana menyedari kepentingannya untuk seorang peniaga.

"Mahu atau tidak, saya harus belajar memasarkan produk menerusi media sosial dan setakat ini sambutan pelanggan menggalakkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:25 AM