Sharifah Fariesha  Syed Fathi (duduk kiri) dan Ayuni Shazwanie Shabri (belakang kiri), Nor Adilah (duduk kanan) maut, manakala Nur Aqilah Mohd Safwan masih koma. FOTO Ihsan keluarga
Sharifah Fariesha Syed Fathi (duduk kiri) dan Ayuni Shazwanie Shabri (belakang kiri), Nor Adilah (duduk kanan) maut, manakala Nur Aqilah Mohd Safwan masih koma. FOTO Ihsan keluarga
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida dalam kejadian di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, di sini pada Rabu lalu, dilaporkan stabil walaupun berada dalam keadaan koma.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata, polis memantau keadaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dari semasa ke semasa.

"Berdasarkan maklumat diterima, mangsa berada dalam keadaan stabil walaupun ketika ini dia dikomakan pasukan perubatan untuk menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur," katanya tadi.

Dalam kejadian Rabu minggu lalu, keempat-empat mangsa, Sharifah FarieshaSyed Fathi; Ayuni Shazwanie Shabri; Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti rehat hingga tertidur di stesen minyak berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Empat mangsa yang menuntut di sebuah kolej kejururawatan di Batu Caves, Selangor, berhenti rehat sebelum ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan dinaiki mereka akibat terhidu gas beracun karbon monoksida.

Sharifah Fariesha ditemui maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Manakala, kembarnya pula, Nor Aqilah satu-satunya mangsa yang masih terselamat dan masih dirawat.

Laporan bedah siasat ke atas tiga mangsa yang maut mendapati punca kematian mereka disebabkan terhidu karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:54 PM