GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Rompin: Seorang kanak-kanak melecur pada lengan serta lebam di dada dan paha dipercayai didera ibu tirinya di rumahnya dekat Muadzam Shah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa berusia sembilan tahun memaklumkannya kepada guru sekolah pada 7.30 pagi, semalam.

Katanya, berdasarkan laporan, guru berusia 28 tahun itu didatangi murid perempuan memaklumkan didera ibu tirinya dengan menggunakan sebilah pisau yang dipanaskan dan diletakkan di atas lengan kanan.

"Guru itu mendapati ada kesan melecur pada lengan kanan murid itu sebelum memaklumkan kepada pihak pentadbiran sekolah dan melaporkannya kepada polis.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah mangsa di Chenderawasih, dekat Muadzam Shah, pada 3 petang, kelmarin," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Azari berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat wanita itu tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang memukul adiknya ketika dia dan suaminya tiada di rumah.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku mencederakan mangsa apabila meletakkan pisau besi yang dipanaskan dengan menggunakan api daripada dapur gas di atas hujung lengan kanan sehingga melecur.

"Berikutan itu, sebilah pisau besi (yang digunakan ketika kejadian) dirampas," katanya.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chanis sebagai pesakit luar sebelum ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsum, Penor, Kuantan.

"Suspek berusia 24 tahun yang bekerja sebagai buruh dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah sudah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Rompin untuk permohonan reman, esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 11:54 PM