Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Seorang pengarah bahagian di sebuah jabatan kerajaan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bagi mempercepatkan siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun terhadap pemilik bot nelayan.

Turut ditahan reman adalah anak perempuan serta menantu lelaki itu.

Sumber berkata, perintah reman yang bermula hari ini adalah sehingga 18 September ini, dan dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, apabila permohonan dibuat dihadapannya tadi.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 32 hingga 59 tahun itu ditahan antara 11.50 pagi hingga 12.10 tengah hari di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam, ketika mereka hadir memberi keterangan.

Beliau berkata, suspek dipercayai meminta dan menerima suapan antara RM500 sehingga RM2,000 daripada pemilik bot nelayan tempatan dan wang itu yang didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya.

PEGAWAI SPRM membawa tiga sekeluarga ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEGAWAI SPRM membawa tiga sekeluarga ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Katanya, ia sebagai balasan untuk mempercepatkan tindakan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik bot nelayan yang melakukan kesalahan bawah Akta Perikanan 1985 supaya pemilik bot nelayan terbabit mendapat semula bot mereka yang disita.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyita wang tunai dianggarkan lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah," katanya.

Penahanan itu disahkan Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh dan berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya kira-kira jam 9.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan meninggalkan mahkamah pada 10.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 11:56 AM