ZAINAL Abidin (kanan) menyerahkan replika kunci kereta peronda polis Honda Civic kepada Noor Halim disaksikan Roslee (tengah). FOTO Baharom Bakar
ZAINAL Abidin (kanan) menyerahkan replika kunci kereta peronda polis Honda Civic kepada Noor Halim disaksikan Roslee (tengah). FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pegawai serta anggota polis Unit Kenderaan Peronda (MPV) akan dihantar mengikuti kursus Pemulihan Pernafasan dan Jantung (CPR) bagi memberi bantuan kecemasan kepada orang awam sebelum ketibaan pasukan perubatan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Zainal Abidin Kassim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melatih dan memberi tunjuk ajar mengenai kaedah penggunaan peralatan dan kelengkapan untuk membantu mangsa.

Beliau berkata, peralatan dan kelengkapan CPR sudah disediakan dalam kereta peronda baharu yang sedang diagihkan ke semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara.

"Peruntukan untuk latihan pegawai serta anggota MPV mengikuti kursus sudah disediakan dan Ketua Polis Daerah di seluruh negara diminta mendapatkan kerjasama daripada KKM.

"Sudah tiba masanya semua pegawai dan anggota Unit MPV didedahkan dengan kaedah memberi bantuan CPR kerana mereka adalah pasukan pertama diarahkan ke lokasi kemalangan termasuk kemalangan jalan raya," katanya pada Majlis Serah Terima Kereta Peronda Polis Model Honda Civic Peringkat Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin.

Zainal Abidin berkata, pegawai dan anggota Unit MPV akan menghubungi pasukan perubatan untuk membantu orang ramai terutama kes kemalangan jalan raya atau mereka yang secara tiba-tiba diserang sesak nafas.

Beliau berkata, jika semua pegawai dan anggota Unit MPV mempunyai kemahiran menggunakan peralatan CPR disediakan dalam kereta peronda, sekurang-kurangnya ia dapat memberi bantuan kecemasan sebelum ketibaan pasukan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 7:06 PM