Tan Sri Joseph Kurup.
Tan Sri Joseph Kurup.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Bekas pemain bola sepak Sabah, Matusin Bowie @ Matius disenaraikan antara lima calon Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang akan membawa cabaran parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Matusin dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid.

Empat lagi kerusi ditandingi PBRS ialah Matunggong, Tandek, Kadamaian dan Sook.

Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup, dalam satu kenyataan semalam berkata, kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri itu akan dimanfaatkan sebaiknya ke arah kemenangan.

"Ini adalah peluang kepada PBRS untuk membuktikan bahawa kita adalah sebuah parti tempatan yang diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

"Semua ahli parti perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon kita pada kali ini. Kita perlu akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang membuat pemilihan serta penilaian yang terbaik dari segenap aspek.

"PBRS juga yakin barisan calon yang dipilih akan menyokong perjuangan dalam memastikan hak dan kepentingan Sabah sentiasa dibela untuk kesinambungan pembangunan yang patut dinikmati oleh rakyat Sabah," katanya.

Sehubungan itu, katanya PBRS memutuskan akan bertanding di lima kerusi DUN.

PBRS katanya, turut berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin selaku Pengerusi BN Sabah yang memberikan sokongan kepada parti itu.

"Kepemimpinan tertinggi dan seluruh ahli PBRS akan berdiri teguh dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi untuk kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.

Lima calon PBRS itu ialah Richard Kastum @ Mosinal (Matunggong), Yillson Yanggung (Tandek), Duanis Mogirong (Kadamaian), Matusin Bowie @ Matius (Tulid) dan Bonepes Been (Sook)

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 4:53 PM