LOKASI kemalangan menyebabkan guru agama maut. (Gambar kecil) Mohd Sharidan. FOTO Hassan Omar.
LOKASI kemalangan menyebabkan guru agama maut. (Gambar kecil) Mohd Sharidan. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


Alor Gajah: Hajat seorang guru agama menyambut ulang tahun kelahirannya tidak kesampaian apabila lelaki itu maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar pagar di Jalan Kampung Ayer Pa'abas-Kampung Lendu, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 5.35 petang itu, mangsa, Mohd Sharidan Abu Bakar, 32, yang mengajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pegoh Dalam, di sini, maut di tempat kemalangan.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke rumah isterinya di Tiang Dua, dekat sini untuk menyambut ulang tahun kelahiran bersama-sama.

Ibu arwah, Hamidah Samah, 65, berkata, arwah dan anak perempuannya tinggal bersamanya berikutan keadaan kesihatan kurang memuaskan susulan mata semakin kabur, selain sering menjalani rawatan hemodialisis.

"Beberapa hari lalu dia beritahu ingin pulang ke kampung isteri untuk menyambut ulang tahun kelahirannya malam tadi.

"Dia sepatutnya menyambut hari lahir Selasa ini, tetapi sambutan diawalkan bagi membolehkan isteri dan anaknya berusia enam tahun meraikannya," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, sudah menjadi kelaziman arwah pulang ke kampung isteri setiap hujung minggu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian itu, mangsa dipercayai mencuba mengelak lembu melintas sebelum terbabas ke kiri jalan.

"Siasatan mendapati arwah melanggar pagar dawai di kiri jalan dan parah di kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Alor Gajah.

"Mayat dibawa ke hospital untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Pa'abas, di sini, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 12:58 PM