MOHD Nizam Saidin (dua kanan baris depan) bersama murid dan guru yang menghasilkan inovasi 'NIKU Foot Measuring Device’ (gambar kiri) dan berjaya meraih pingat perak dalam WICO  dianjurkan di Seoul, Korea Selatan. FOTO Ihsan Pembaca
MOHD Nizam Saidin (dua kanan baris depan) bersama murid dan guru yang menghasilkan inovasi 'NIKU Foot Measuring Device’ (gambar kiri) dan berjaya meraih pingat perak dalam WICO dianjurkan di Seoul, Korea Selatan. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


BIARPUN masih di sekolah rendah, seramai lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Changlun di Kubang Pasu memberi kejutan apabila berjaya meraih pingat perak dalam pertandingan World Invention Creativiti Olympic (WICO) yang dianjurkan di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Inovasi berkenaan dimenangi menerusi NIKU Foot Measuring Device atau alat pengukur saiz kaki secara automatik yang dihasilkan sejak Jun tahun lalu.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association (KUIA) ini berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos lalu di Seoul, Korea Selatan yang dilangsungkan secara dalam talian.

Murid terbabit ialah Muhammad Adam Iskandar Roslan, Tunku Intan Mariam Tungku Muhamad Nizar, Muhammad Asyar Hadif Abdul Rashid , Sujeshan Siva dan Nuha Nisrin Muhsin masing-masing berusia 12 tahun.

Menurut Muhmamad Adam, kejayaan itu dikecapi hasil tunjuk ajar guru pembimbing, Norazalina Bakar dengan kerjasama Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Erdy Sulino Mohd Muslim Tan.

"Alat pengukur saiz kaki secara automatik ini yang direka bagi membolehkan pengguna mengukur saiz kasut mengikut saiz United Kingdom, Jepun dan Eropah.

"Apabila pengguna meletakkan kaki di atas alat ini, secara automatik saiz sebenar kasut pengguna akan keluar di paparan skrin, ia sekali gus memudahkan pengguna sama ada lelaki ataupun perempuan memilih kasut yang selesa dipakai dalam masa kurang daripada tiga saat," katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd Nizam Saidin berkata, dia bangga dengan pencapaian murid sekolah itu kerana mengharumkan nama Malaysia dan Kedah di peringkat antarabangsa.

Katanya, sekolah berkenaan satu-satunya sekolah di Kedah yang menghantar penyertaan di peringkat antarabangsa dalam pertandingan inovasi paling berprestij.

"Pihak sekolah sangat berterima kasih kepada Pemangku Timbalan Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa AlBakri Abdullah, yang memberikan ruang dan peluang untuk kepada murid sekolah kami menyertai pertandingan ini.

"Walaupun pertandingan ini dianjurkan secara dalam talian, namun prosedur dan syarat pertandingan ini sangat ketat untuk melayakkan sesuatu alat inovasi itu layak dipertandingkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 12:15 PM