DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disambut pengundi masyarakat India ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Kampung Baru Slim hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disambut pengundi masyarakat India ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Kampung Baru Slim hari ini. FOTO Bernama
Rosman Shamsudin


BARISAN Nasional (BN) kenal pasti faktor menyebabkan parti itu tewas di enam daripada 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi BN, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, punca kekalahan BN itu disebabkan fitnah dilemparkan kepada kerajaan BN ketika itu.

Beliau berkata, daripada enam PDM itu , terdapat tiga PDM yang majoriti mempunyai pengundi kaum India yang rata-rata termakan janji dan hasutan kebencian kepada BN.

"Pengundi kaum India perlu sedar kerajaan sedia ada sekarang memang serius untuk membantu dan membangunkan kaum India di seluruh negara.

"Saya yakin jika kaum India memberi kemenangan bergaya kepada calon BN, kerajaan akan membuat satu rancangan khas membabitkan pendidikan, taraf hidup, menyediakan kemudahan pinjaman mikro kepada kaum India.

"Saya akan fokuskan mengenai keciciran pelajaran dalam kalangan masyarakat India dan mengatasi tahap kemiskinan bandar dan tiga perkara ini saya sendiri akan kemukakan kepada Perdana Menteri bagi membantu kaum India," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan melawat Bilik Gerakan Parti IPF dekat Kampung Baru, Slim River, hari ini.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz turut singgah untuk bersama-sama dan memberi ucapan pada program berkenaan.

Turut hadir, Presiden IPF Kebangsaan, Datuk T Loganathan; Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Parti IPF Perak, V Manikam.

Ahmad Zahid berkata, pada Pilihan Raya (PRK) Dun Slim nanti, BN mampu memperoleh kemenangan besar menerusi kerjasama semua pihak.

Katanya, jika pengundi India memberi undi banyak, ia bakal menjadi trend atau ikutan pada kaum India di seluruh Malaysia agar menyokong BN.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 7:17 PM