HEE Sem (tengah) melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri. FOTO Amir Mamat
HEE Sem (tengah) melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Semua premis kerajaan di Melaka diarah supaya memasang Jalur Gemilang sebagai memeriahkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, berkata premis swasta serta persendirian turut digalakkan untuk memasang bendera bagi menunjukkan semangat patriotisme pada bulan kemerdekaan ini.

"Pada bulan Kebangsaan ini kita wajar memasang Jalur Gemilang khususnya pada bangunan kerajaan, selain premis perniagaan, swasta serta persendirian di negeri ini.

"Saya meminta semua ketua jabatan mengambil peranan dalam memastikan pejabat mereka memasang Jalur Gemilang bermula hari ini," katanya selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Sejarah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis dan Pengarah Penerangan negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Ngwe berkata, pihaknya menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memantau pemasangan Jalur Gemilang di semua premis dan lokasi di negeri ini bagi mengelakkan bendera itu disalah pasang.

Katanya, kerajaan negeri serius untuk menangani semua isu berkaitan pemasangan bendera yang mungkin akan mencetuskan pelbagai reaksi oleh sesetengah pihak.

Sementara itu, beliau berkata, pelbagai acara sudah disusun oleh Jabatan Penerangan negeri serta Jabatan Perpaduan negeri bagi memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Katanya, ia termasuk program jelajah membabitkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta aktiviti yang membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat negeri ini.

"Tahun ini, sambutan 31 Ogos akan diadakan secara sederhana dengan Perhimpunan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Sejarah, manakala Sambutan Hari Malaysia pula akan diadakan di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.

"Menariknya, Melaka akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 September ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:11 PM