Abdul Rahman Redza (tengah) bersama penduduk kampung ketika program Merdeka dan Komuniti peringkat Port Dickson di Kampung Bukit Kepong, Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Abdul Rahman Redza (tengah) bersama penduduk kampung ketika program Merdeka dan Komuniti peringkat Port Dickson di Kampung Bukit Kepong, Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


"SETIAP tahun saya tidak akan lepaskan peluang memasang bendera baharu apabila tiba bulan kemerdekaan," kata warga emas di perkampungan Orang Asli, Odek Apub, 83.

Menurut Odek dan isterinya, Bubot Tahat, 82, setiap tahun mereka meraikan hari bersejarah itu dengan penuh bangga.

"Walaupun kami Orang Asli namun tidak terkecuali untuk turut meraikannya.

"Bagi saya, siapa sahaja yang mengaku rakyat Malaysia, sepatutnya memasang jalur gemilang tanpa perlu menunggu yang percuma, baru nak pasang bendera," katanya di Kampung Bukit Kepong, Pasir Panjang, di Port Dickson.

Odek ditemui ketika menerima bantuan dalam Program Merdeka dan Komuniti Daerah Port Dickson serta Jelajah Rezeki Ummat peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Penerangan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyFundAction.

Dia menerima sumbangan tongkat yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Redza.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Bukit Kepong, Omar Gomeng berkata, dia teruja apabila kampung ini sentiasa menjadi pilihan terutama program bercorak kemerdekaan.

"Kampung ini pernah dinobatkan sebagai antara kampung tercantik kategori Kampung Orang Asli pada tahun 2015 dan sejak itu sentiasa menjadi lokasi pelancongan di Port Dickson.

"Memang saya tekankan perlunya kita meraikan bulan kemerdekaan yang disambut selama sebulan setiap tahun. Program ini secara tidak langsung menyemai semangat patriotik dalam kalangan orang asli," katanya.

Turut hadir, Pengarah Penerangan negeri, Shahnon Ahmad, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Kalsum Mokhtar dan Ketua Operasi MyFundAction, Shahidah Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 5:44 PM