Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SATU Jawatankuasa Bertindak akan diwujudkan Persatuan Keharmonian Bandar Baru Sungai Buloh bagi menyelesaikan isu peniaga terkesan dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Persatuan Keharmonian Bandar Sungai Buloh, Kapten (B) Abu Hassan Mistari berkata, setakat ini 80 peniaga termasuk ibu tunggal terkesan dengan tindakan pihak terbabit yang mengakibatkan mereka hilang punca pendapatan.

"Jawatankuasa yang turut dianggotai peniaga itu akan mencari kaedah dan jalan penyelesaian terbaik.

"Kita akan kenal pasti siapa, jenis perniagaan terkesan selain cuba menyelaraskan operasi perniagaan supaya tidak berlaku lambakan di satu tempat.

"Mungkin boleh carikan tapak perniagaan lain untuk individu terkesan. Jawatankuasa ini akan bertindak dalam seminggu ini," katanya pada sidang media di sebuah restoran di Sungai Buloh, malam ini.

Mengenai kewujudan operasi pusat judi di Sungai Buloh, Abu Hassan yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah melakukan tugas yang terbaik bagi membanteras kegiatan itu.

ABU Hassan pada sidang media di Sungai Buloh, malam ini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ABU Hassan pada sidang media di Sungai Buloh, malam ini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

"Persatuan berhubung rapat dengan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Kita salurkan maklumat dan mereka terus jalankan operasi.

"Mungkin ada empat atau lima lagi pusat judi yang masih beroperasi (sebelum MBSA membuat operasi besar-besaran hari ini), kalau polis tak bertindak secara aktif mungkin lebih banyak lagi premis jalankan aktiviti judi," katanya.

Hari ini, sebuah premis dipercayai dijadikan pusat judi dalam talian yang berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker, adalah di antara premis disita dalam operasi bersepadu MBSA di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Sepanjang operasi bermula 10 pagi itu, petugas MBSA turut merampas semua perabot dan memotong bekalan elektrik serta air dengan bantuan petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.

Sebelum ini, Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahannya menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia tular sejak Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 11:10 PM