KARIM bercakap kepada pemberita ketika mengulas laporan mengenai penglibatan seorang rakyat Sarawak dalam kegiatan perdagangan organ. FOTO Melvin Joni
KARIM bercakap kepada pemberita ketika mengulas laporan mengenai penglibatan seorang rakyat Sarawak dalam kegiatan perdagangan organ. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


"PIHAK berkuasa perlu menyiasat betul atau tidak. Kalau betul, tindakan harus diambil sebab ini tindakan yang tidak beretika."

Itu reaksi diberikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai laporan sebuah akhbar antarabangsa, The Sun bahawa seorang rakyat Malaysia dari Sarawak terbabit dalam kegiatan perdagangan organ.

Beliau menegaskan tidak dapat menerima kegiatan seperti itu kerana ia tindakan yang tidak waras.

Malah, beliau menyifatkan ia sebagai cerita dongeng yang hanya dilakukan untuk mendapatkan publisiti murahan.

"Saya sudah menonton video laporan itu, ini kerja orang gila.

"Apa pun, bagi saya ini adalah cerita dongeng," katanya yang ditemui di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur II di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

Karim berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan akhbar The Sun yang berpangkalan di United Kingdom (UK) bahawa seorang rakyat Malaysia iaitu dari Sarawak terbabit dalam perdagangan organ dengan memikat mangsa dihimpit kemiskinan dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka.

The Sun melaporkan bahawa lelaki itu mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram.

Laporan itu mendakwa dia mula menggunakan Facebook dua tahun lalu untuk membeli dan menjual buah pinggang, mendapatkan sumber penderma organ dari golongan miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:10 PM