Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN bersetuju menurunkan caj penginapan di Institut Latihan Awam (ILA) bagi mengurangkan beban rakyat yang perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebaik tiba dari luar negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan mengenakan caj RM150 sehari untuk mereka yang dikuarantin di lima ILA mahu pun 58 hotel terpilih seluruh negara.

Menurutnya, selepas diteliti, caj penginapan bagi mereka yang dikuarantin di ILA akan diturunkan kepada RM100 semalam namun caj bagi hotel masih kekal RM150.

"Jika diteliti, kemudahan yang ada di ILA masih kurang berbanding hotel dan Mesyuarat Khas Menteri dikurangkan kepada RM100 semalam. Bagi mereka yang melancong bersama keluarga, ibu bapa dan anak berusia bawah 12 tahun boleh menginap dalam bilik yang sama.

"Hanya RM50 dikenakan untuk individu kedua dan ketiga untuk kos makanan serta perkhidmatan lain," katanya dalam sidang media Covid-19 di Bangunan Parlimen, hari ini.

SEBAHAGIAN daripada 32 sekeluarga, penduduk Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, terpaksa menjalani kuarantin rumah selepas salah seorang ahli keluarganya didapati positif Covid-19. FOTO IHSAN ASLINDA AMIT.
SEBAHAGIAN daripada 32 sekeluarga, penduduk Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, terpaksa menjalani kuarantin rumah selepas salah seorang ahli keluarganya didapati positif Covid-19. FOTO IHSAN ASLINDA AMIT.

Ismail berkata, bagi kanak-kanak bawah 12 tahun yang pulang dari luar negara bersendirian, ibu bapa atau ahli keluarga dibenarkan untuk menemani sepanjang dikuarantin wajib selama 14 hari dan tiada sebarang caj dikenakan untuk kes berkenaan.

Katanya, kerajaan juga membenarkan mereka yang dikuarantin di hotel untuk menaik taraf bilik mengikut keselesaan masing-masing namun kos penambahan itu akan ditanggung sendiri kerana kerajaan masih tertakluk untuk menanggung kos RM150 sehari.


Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah diminta untuk mengkaji keberkesanan penggunaan pelitup muka fabrik kepada murid sekolah bagi membantu mengurangkan kos pembelian pelitup muka tiga lapis yang dicadangkan sebelum ini.

"Saya cadangkan kain dijahit dan digunakan sebagai pelitup muka kerana boleh dibasuh dan memudahkan keluarga susah daripada perlu mengeluarkan kos setiap hari membeli pelitup muka.

"Selain itu, kerajaan juga mencadangkan agar murid sekolah menggunakan perisai muka kerana ia boleh dicuci dan digunakan berulang kali dengan setiap satu dianggarkan RM3 hingga RM4 selain menggunakan penggunaan pelitup muka daripada kain dan selendang seperti mereka yang berpurdah," katanya.

Tambahnya, kerajaan akan menunggu laporan kajian keberkesanan daripada KKM dan jika lulus pengumuman akan dibuat kerana ia bertujuan untuk memudahkan rakyat menggunakan pelitup muka namun tidak membebankan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:40 PM