MEMAKAI pelitup muka antara SOP yang diwajibkan bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Effendy Rashid
MEMAKAI pelitup muka antara SOP yang diwajibkan bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Effendy Rashid
Mahaizura Abd Malik


PEMULIHAN wabak Covid-19 bergantung sepenuhnya kepada kesedaran setiap masyarakat dalam mengamalkan sikap dan kawalan kendiri dalam rutin harian masing-masing.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu perlu diberi tumpuan berikutan turun naik jumlah jangkitan dalam negara bergantung sepenuhnya kepada orang ramai yang bergejala dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit.

"Kesedaran terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan bukan saja patut dilaksanakan di peringkat agensi dan kerajaan, tetapi komuniti.

"Sebab itu perlunya peranan komuniti melindungi diri sendiri dan keluarga terutama kumpulan yang mudah dijangkiti seperti golongan warga emas dan kanak-kanak.

"Contohnya, Kluster Sivagangga banyak membabitkan mereka yang mempunyai kontak rapat dan mengunjungi tempat yang sebelum ini kita sendiri pun tidak sangka Covid-19, sedangkan ia ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara Menteri Kesihatan di TV1 RTM, hari ini sempena pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu, esok.

Beliau berkata, setiap individu dalam komuniti berperanan penuh mengekang penularan Covid-19 dengan mematuhi SOP dan mengamalkan normal baharu yang menjadi vaksin paling berkesan bagi memutuskan penularan jangkitan ketika ini.

"Saya mengambil maklum banyak negara sedang membangunkan vaksin, (tetapi) bukan mudah kerana frekuensi virus ini yang berbeza dan memerlukan pembuatan vaksin tepat.

"Apa yang perlu kita laksanakan seawal mungkin ketika ini adalah mematuhi apa dicadangkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter, amalkan kebersihan dengan kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka serta saling mengingati sesama kita tentang etika batuk serta pemakaian pelitup muka yang betul.

"Kita perlu lihat bagaimana (pematuhan ini sebenarnya dapat) membantu 'frontliners' (petugas barisan hadapan) yang kini nampaknya sedang (giat) membuat saringan di Kedah untuk Kluster Sivagangga," katanya.

Katanya, setakat ini, seramai 2,351 orang sudah disaring untuk mengesan seramai mungkin sekiranya mereka ada gejala.

"Saya hendak maklumkan amalan kebiasaan baharu pematuhan dan kita tetap kawal sempadan antarabangsa supaya mereka yang tidak dapat dikesan di negara asal dapat terus dikuarantin di pusat kuarantin ditetapkan," katanya.

Sementara itu, katanya, Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sukan Pagoh, Johor, esok mahu mendedahkan masyarakat bagaimana membudayakan normal baharu kehidupan dalam mencegah wabak berkenaan.

"Amalan pencegahan disarankan ialajh kita kena patuh dan kerajaan pantau. Kita mahu sekarang rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi 'frontliners' sebenar dalam menjaga kebersihan dan melindungi keluarga dan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:54 PM