Petugas barisan hadapan bersemangat menjalankan tugas dalam suasana norma baharu - Foto Harian Metro
Petugas barisan hadapan bersemangat menjalankan tugas dalam suasana norma baharu - Foto Harian Metro
Mohammad Asyraf Bin Khalib

PEPATAH ada mengatakan sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, begitulah semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam mendepani dunia norma baharu. 

Walaupun pandemik Covid-19 masih belum menemui penghujungnya, namun semangat rakyat untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak pernah luntur. 

Malah, banyak program dan kempen pembudayaan norma baharu terus disambut baik semua pihak. 

Dulu lain, sekarang lain

ImageTeoh Jee Wing, 67 - Foto Harian Metro

Berkongsi pendapat kepada Harian Metro, Teoh Jee Wing, 67 berkata norma baharu tidak membebankan, sebaliknya memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling. 

"Sejujurnya sejak PKP diperkenalkan, saya dan keluarga lebih sihat dan jarang terkena sakit. Jika hendak dibandingkan sebelum ini, dalam tempoh sebulan mesti kena ke klinik. Saya yakin semua ini berkat amalan norma baharu."

"Kami jadi lebih peka mengenai kebersihan diri dan anak-anak juga ambil peranan untuk saling mengingatkan seperti wajib pakai pelitup muka serta guna cecair pembasmi kuman," katanya.

Masjid, surau pun ikut SOP

ImageHalim Irshad, 57 menggunakan aplikasi MySejahtera di masjid - Foto Harian Metro

Halim Irshad, 57 ketika ditemui di Masjid Al-Hijrah, Kota Kemuning Shah Alam berkata walaupun terpaksa beratur panjang untuk pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke masjid, beliau sama sekali tidak mengeluh.

Menurutnya, semua jemaah yang hadir sedia mengamalkan penjarakan fizikal sewaktu berada di masjid tanpa perlu diarah oleh pegawai bertugas. Ini membuktikan masyarakat sudah menerima baik norma baharu dalam kehidupan seharian.

Perniagaan kembali rancak

ImageMuhammad Hafiz (kiri) dan Hasif Afiq (kanan) pemilik HasifHafiz Boutique - Foto Harian Metro

Pemilik butik fesyen dan perkahwinan, Hasif Afiq Hassan, 27 dan Muhammad Hafiz, 29 masing-masing tidak lokek berkongsi cabaran dalam menguruskan perniagaan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara. 

"Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, butik kami tidak dapat beroperasi buat sementara waktu. Ini sudah pasti memberi kesan kepada perniagaan. Sebagai usahawan, kami harus bertindak lebih proaktif dan kreatif untuk memasarkan produk"

"Platform atas talian termasuk sosial media menjadi medium baharu untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan sepanjang tempoh kuarantin," kongsi Hasif.

Ditanya mengenai proses perniagaan dalam suasana norma baharu, Hafiz pula meluahkan rasa lega kerana segalanya lancar dan tiada masalah. Semua pelanggan memberi kerjasama untuk mematuhi SOP sebelum memasuki premis, malah Hafiz juga bersyukur kerana perniagaan mereka kembali rancak. 

Mencabar tapi seronok

ImagePasangan pengantin Muhammad Syarafuddin (kiri) dan Safiah Nawawi (kanan) melangsungkan pernikahan semasa PKP - Foto Nor Asyilah

Nor Asyilah Nor Firzan, 28 jurugambar sepenuh masa berkata, dia ada cara tersendiri sewaktu bertugas dalam dunia norma baharu. 

"Memandangkan saya banyak menghadiri majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin, selalunya saya ambil inisiatif sendiri untuk bantu tuan rumah atau keluarga pengantin bagi memastikan tetamu ikut SOP."

"Memang mencabar juga bila ada sesetengah tetamu tak mahu beri kerjasama, tetapi lama kelamaan saya jadi terbiasa dan seronok," katanya.

Tambah Nor Asyilah lagi, semua pihak seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian wabak Covid-19 ini berjaya diputuskan.

Rakyat dah biasa

ImageAmirul Hamzah, 31 - Foto Harian Metro

Mengakui tidak lagi kekok menjalani kehidupan norma baharu, Amirul Hamzah, 31 pula berkata amalan norma baharu seperti 3W cuci (wash), pakai (wear) dan amaran (warn) sudah sebati dalam kehidupan seharian. 

"Kalau ada orang tak pakai pelitup muka di tempat awam yang sesak, semua orang akan pandang serong. Sekarang, tak patuh norma baharu itu lebih pelik," katanya.

Tambah Amirul lagi, amalan norma baharu wajar diteruskan untuk tempoh yang lebih lama walaupun pandemik Covid-19 pulih kelak. 

Malah, dia yakin rakyat Malaysia pasti memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak ini pada masa hadapan. 

Kini kita semua adalah 'frontliner'!

Image

Sehingga hari ini, semangat pembudayaan norma baharu di Malaysia cukup mengagumkan apabila masyarakat di negara ini bersepakat menggalas tanggungjawab sebagai 'frontliner'.

Tidak kira ibu bapa, guru, pemandu, pengawal keselamatan atau sesiapa sahaja, kita semua kini di 'barisan hadapan'.

Sudah tiba masanya untuk kita saling menjaga. Pandemik ini boleh dihentikan dengan kerjasama baik seluruh rakyat Malaysia.

Jom jadikan norma baharu lebih seronok!

Sebelum ini, 'frontliner' sudah berkerja kerja keras dan terbukti berjaya mengawal Covid-19. Sekarang tiba giliran seluruh masyarakat memainkan peranan untuk mengekalkan apa yang kita sudah capai selama ini.

Jadi, jangan mengeluh dan bersedih kerana kita pasti menang. Ayuh rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita bersatu hati dan berjuang untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini. 

Jadikan norma baharu atau kelaziman baharu ini perkara yang menyeronokkan. Ingat, kini anda adalah 'frontliner'!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:51 AM