GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


BURUH am didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas mengaku salah memiliki dan cuba melupuskan senapang curi Isnin lalu.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman ke atas P Logeswaran, 31 dari Rompin, Jempol selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 5.45 petang 3 Ogos lalu di kawasan kebun getah Kampung Baru FELCRA Rompin B didapati dengan sengaja memindahkan selaras senapang patah jenis Sellier & Bellot 12 yang juga harta curi dan milik individu lain.

Justeru itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 13 Julai lalu, seorang lelaki terbabit dengan kemalangan yang ketika itu turut membawa senapang berserta peluru milik bapanya di dalam kereta yang dinaiki.

Lelaki itu menyembunyikan senapang dan peluru di kawasan semak di dalam kebun getah berhampiran sebelum meminta tertuduh yang kebetulan berada di lokasi kejadian menghantarnya ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan kemalangan.

Lelaki berkenaan turut meminta tertuduh menghantarnya pulang ke Segamat, Johor, namun keesokan harinya dia bersama rakannya datang ke tempat kejadian untuk mengambil semula senapang patah yang disembunyikan sebelum didapati hilang.

Polis yang menjalankan siasatan kemudian menahan tertuduh pada jam 5.10 petang 3 Ogos lalu di sebuah kilang di Bahau dan menunjukkan lokasi senapang berkenaan disembunyikan.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:16 PM