MOHD Yusof (tengah) ketika menyampaikan sumbangan barang keperluan persekolah kepada penerima di Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
MOHD Yusof (tengah) ketika menyampaikan sumbangan barang keperluan persekolah kepada penerima di Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


WALAUPUN kebakaran yang membabitkan kediamannya di Lorong 8, Tongkang Pechah di Batu Pahat sudah seminggu berlalu namun insiden terkena renjatan elektrik ketika kejadian itu terus 'menghantuinya'.

Mohd Farhawis Ashri, 32, berkata, kejadian itu menyebabkannya trauma untuk mendekati peralatan elektrik selepas terkena renjatan ketika mahu memadam kebakaran yang berlaku.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama tiga anak yang berusia antara empat hingga 11 tahun serta seorang anak saudara berusia lapan tahun sedang melakukan persiapan untuk menyambut Aidiladha.

"Ketika itu saya sedang mengemas rumah, tiba-tiba sahaja terdengar jeritan daripada jiran dan terus keluar untuk melihat kejadian sebenar yang berlaku, namun terkejut apabila rumah sewa saya tinggal turut terbakar.

"Saya bergegas masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan anak dan anak saudara, selain berusaha untuk memadam kebakaran yang berlaku tetapi terhenti selepas terkena renjatan elektrik," katanya.

Dia ditemui hari ini di majlis sumbangan peralatan persekolahan kepada lapan pelajar yang menjadi mangsa kebakaran berkenaan yang terdiri daripada empat keluarga oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Johor.

Menurut Mohd Farhawis, dia sekeluarga menyambut Aidiladha dengan keadaan sehelai sepinggang dan kini mengharapkan ihsan orang ramai untuk urusan hariannya termasuk kediaman kerana masih belum boleh bekerja akibat kecederaan yang dialaminya.

Sementara itu, Pegawai Seranta YPM Negeri Johor Mohd Yusof Ahmad berkata, pihaknya memberikan sumbangan pakaian seragam sekolah termasuk baju sekolah kebangsaan dan sekolah agama berserta beg untuk meringankan beban keluarga mangsa.

"Difahamkan, buat masa ini anak mangsa ke sekolah dengan tidak memakai pakaian seragam kerana hangus dalam kebakaran dan pihak YPM menyalurkan bantuan terbabit untuk kegunaan mereka," katanya.

Dalam kejadian 4 petang Selasa lalu, kebakaran itu membabitkan empat keluarga yang menyewa di rumah berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman berkenaan 90 peratus musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 3:15 PM