DADAH yang ditemui di dalam beg galas suspek dalam operasi yang diadakan sekitar Padang Serai, semalam. FOTO ihsan Polis
DADAH yang ditemui di dalam beg galas suspek dalam operasi yang diadakan sekitar Padang Serai, semalam. FOTO ihsan Polis
Nor Farhani Che Ad


SEORANG lelaki yang juga pengedar dadah ditahan bersama syabu serta heroin bernilai RM11,960 di tepi jalan Kampung Sentosa, Padang Serai, Kulim jam 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, terdahulu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Kami memeriksa beg galas dibawa suspek dan menemui syabu seberat 148 gram, heroin seberat 595 gram selain 50 pil Eramin 5 seberat 15 gram.

"Suspek terbabit dengan pengedaran dadah sejak 2015," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif syabu selain memiliki enam rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 2:51 PM