MAT Dan. FOTO arkib NSTP
MAT Dan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) memberi pengajaran kepada jejaka Inggeris yang fasih bercakap dialek Terengganu, Mat Dan supaya membuat persediaan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Mat Dan atau nama sebenarnya Mohammad Kareef Daniel Abdullah, 31, berkata, dia bersama isteri, Nadifa Adnan, 32, dan anaknya, Muhammad Zayne Danial James Tyler, 3, hanya berkurung di rumahnya di Kuala Lumpur sepanjang PKP berkuat kuasa.

"Sepatutnya pelbagai program televisyen, pergambaran drama dan filem, undangan majlis dijayakan sepanjang Mac hingga Mei tetapi kerana PKP, semuanya dibatalkan.

"Dua minggu pertama selepas PKP tiada masalah kerana dapat luangkan masa dengan keluarga tetapi apabila berlanjutan kesannya semakin dirasai maklumlah tiada pendapatan," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, hari ini.

"Kerjaya seperti saya ini pendapatan tidak tetap, kalau ada kerja akan ada gaji tetapi kalau tiada kerja tiada gaji oleh itu perlu merancang sesuatu yang lain sebagai persediaan maklumlah sekarang sudah berkeluarga," katanya.

Mat Dan yang juga Duta Pelancongan Terengganu kini fokus kepada perniagaannya dan juga peluang memartabatkan batik asli Terengganu.

Menurutnya, dia juga akan menjalankan pergambaran filem lagenda pahlawan Mat Kilau pada petengahan Ogos ini.

"Tajuk filem itu belum dipastikan lagi tetapi saya akan membawa watak askar British yang merupakan penjajah ketika zaman itu," katanya yang turut akan menjayakan program travelog berkaitan kehijauan alam dan isu alam sekitar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 12:19 PM