Baharom Bakar


SEBANYAK 107 restoran dan kedai makan dikompaun manakala 97 lagi disita kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di Terengganu.

Jumlah kompaun keseluruhan dikenakan ke atas pengusaha restoran dan kedai makan kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan ketika operasi patuh khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berjumlah RM107,000.

Antara kegagalan pengusaha restoran dan kedai makan adalah tiada penjarakan meja makan sejauh dua meter, tidak menyediakan petugas untuk mengambil suhu badan pelanggan selain tidak memberi perhatian pada buku catatan kedatangan pelanggan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dalam operasi patuh khas PKPP itu, 97 restoran dan kedai makan diarahkan ditutup antara tiga dan tujuh hari berikutan kawasan penyediaan makanan kotor.

Beliau berkata, sebanyak 3,317 restoran dan kedai makan di daerah Kemaman, Setiu, Besut dan Kuala Terengganu diperiksa dalam operasi sejak 10 Jun lalu.

"Restoran dan kedai makan di daerah Kemaman mencatatkan kes gagal patuhi SOP tertinggi iaitu 47 kes manakala daerah lain seperti Setiu (13), Besut (10), Kuala Terengganu (18) dan lapan kes di daerah Dungun.

"Operasi bersepadu membabitkan seramai 161 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan akan dilakukan di daerah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi patuh khas PKPP di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, walaupun tiada kes terbaru penularan wabak Covid-19 dilaporkan berlaku di negeri ini, kerajaan termasuk bimbang akan berlaku penularan jangkitan kes import kalangan komuniti di negeri ini.

Beliau berkata, operasi diadakan bukan bertujuan menyusahkan atau sengaja mencari kesalahan pengusaha restoran dan kedai makan, tetapi hasil pemantauan dilakukan mendapati kebanyakan mereka gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, sebelum serbuan dilakukan, pegawai dan anggota penguat kuasa sudah melakukan risikan serta pemantauan dan mendapati pematuhan SOP dilakukan secara sambil lewa oleh pengusaha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 3:53 PM
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus (kiri) meninjau keadaan kedai makan pada operasi khas pemantuan SOP sekitar bandaraya Kuala Terengganu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus (kiri) meninjau keadaan kedai makan pada operasi khas pemantuan SOP sekitar bandaraya Kuala Terengganu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR