GAMBAR hiasan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
GAMBAR hiasan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
Suzalina Halid


SERAMAI 1,126 pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari laluan Hutan Kampung, Kedah, hingga ke Sungai Dua, Pulau Pinang menikmati kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), yang dilancarkan di laluan itu, bermula hari ini.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail berkata, kemudahan di Plaza Tol Sistem Tertutup itu yang disediakan di sembilan plaza tol di laluan Hutang Kampung ke Sungai Dua berjalan lancar, hari ini.

"Sambutan diterima daripada pengguna lebuh raya dari Kedah dan Pulau Pinang sangat menggalakkan apabila ia mewakili 2.93 peratus daripada jumlah kenderaan persendirian antara laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua atau sebaliknya ketika ini.

"Berdasarkan pengalaman lancar ini, kami yakin kadar penggunaannya boleh meningkat dalam tempoh terdekat ini, " katanya melalui kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 1 Januari lalu, RFID diperkenalkan di 10 plaza tol Sistem Terbuka (pembayaran tol berdasarkan jenis kenderaan dan dikenakan setiap kali kenderaan melalui plaza tol) iaitu di Plaza Tol Jitra, Lunas, Kubang Semang, Jambatan Pulau Pinang, Mambau, Lukut, Kempas, Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan peningkatan penggunaan RFID, Touch 'n Go akan meningkatkan jumlah pusat pemasangan untuk membantu pelanggan RFID di Kedah dan Pulau Pinang.

"Sambutan diterima ini petanda positif seiring dengan matlamat kerajaan untuk melaksanakan perjalanan bebas sesak dalam masa terdekat, sekali gus merealisasikan hasrat mewujudkan lebuh raya aliran bebas pelbagai lorong.

"Menerusi perkembangan itu, kami yakin akan dapat melaksanakan RFID di sepanjang sistem tol tertutup PLUS iaitu dari Juru ke Skudai dalam waktu terdekat ini.

"Dalam pada kami berusaha mencapai visi itu, pelanggan Lebuhraya PLUS yang belum mendaftar untuk RFID masih boleh menggunakan kad Touch 'n Go mereka untuk sementara waktu.

"Namun kami sangat mengalu-alukan mereka untuk berpindah ke RFID secepat mungkin kerana terdapat banyak faedah iaitu bayaran sekali RM35 dan penggantian percuma sekali apabila diperlukan, " katanya.

Beliau berkata, selain itu, pengguna lebuh raya tidak perlu lagi membeli bateri 9V untuk 'smart tag', RFID dihubungkan terus ke e-dompet dan boleh mengelakkan kesesakan jalan yang membuang masa.

Menurutnya, dalam tempoh ini apabila kerajaan meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap Covid-19, penggunaan RFID lebih penting kerana ia tidak memerlukan interaksi untuk transaksi tunai di lorong dengan bantuan perkhidmatan pelanggan tol.

Katanya, ia turut mempromosikan penjarakan sosial antara individu kerana transaksi tanpa sentuh dan tanpa tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 10:46 PM