GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

SURI rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mendera anak angkat perempuannya berusia enam tahun sehingga menyebabkan bengkak di atas lutut dan kesan parut di belakang badan serta jari tangan kiri.

Munirawati Othman, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid. Tertuduh kelihatan menangis dan resah di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding kes itu.

Ibu anak empat itu didakwa melakukan kesalahan itu di rumah di Kampung Batu Muda, Sentul, pada Januari 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan dia mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan suaminya seorang pekerja am.

"Saya tidak bekerja, anak angkat saya kini tidak tinggal bersama saya dan telah diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 1:12 PM