ROSLEE Chik (tengah) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas selepas dalam sidang media di Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM
ROSLEE Chik (tengah) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas selepas dalam sidang media di Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


POLIS menahan tiga beranak dan merampas dadah jenis syabu serta pil kuda bernilai RM176,900 di sebuah rumah di taman perumahan di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, dalam serbuan ke atas rumah terbabit, polis turut menyita 14 kenderaan terdiri daripada lapan kereta, empat motosikal, sebuah lori dan sebuah pacuan empat roda yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada jam 1.45 pagi.

"Ketika serbuan, kita berjaya menemui dadah dipercayai syabu dianggarkan seberat 749 gram serta 10,200 biji pil kuda.

"Kita menahan suspek lelaki berusia 52 dan isterinya yang berusia 48 tahun serta anak lelaki mereka berusia 22 tahun," katanya dalam sidang media di IPD Kemaman, hari ini.

Roslee berkata, pemeriksaan polis di dalam bilik rumah terbabit juga menemui wang tunai sebanyak RM321,000 dipercayai hasil jualan dadah.

"Susulan tangkapan itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Bandar Chukai kira-kira jam 6 petang namun suspek yang dikehendaki berjaya melarikan diri.

"Pemeriksaan polis di dalam rumah terbabit menemui wang tunai sebanyak RM7,415 dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati suspek berusia 52 tahun serta anak lelakinya itu mempunyai rekod lampau berhubung dadah.

"Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas kesemua suspek negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke IPD Kemaman untuk ditahan.

"Polis mendapat arahan perintah reman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut ke atas kesemua suspek.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan polis percaya aktiviti pengedaran dadah ini dilakukan suspek sejak lebih setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 5:17 PM