LATHITA Sivanaser (kanan) dan Mohammed Hazree ketika ditemui di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
LATHITA Sivanaser (kanan) dan Mohammed Hazree ketika ditemui di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sri Ayu Kartika Amri

"WALAUPUN lari daripada bidang yang saya ceburi sebelum ini, namun peluang kedua yang diperoleh tidak akan saya sia-siakan," kata Mohammed Hazree Zakaria, 39, Eksekutif Pembangunan Perniagaan, OurFarm.

Mohammed Hazree, bekas Kru Kabin Kanan di AirAsia X Malaysia adalah antara kakitangan yang tersenarai dalam skim pemberhentian dilaksanakan AirAsia Berhad, Jun lalu.

Dia mengakui sedih dan kecewa ketika menerima perkhabaran itu tetapi berkat sokongan padu keluarga dan rakan-rakan, dia bangkit semula mencari peluang pekerjaan lain.

"Siapa yang tidak sedih, ketika menerima surat perasaan saya bercampur aduk kerana jiwa saya memang dalam dunia penerbangan dan saya sudah berkhidmat menjadi kru kabin ini sejak 2008.

"Selepas dua hari saya 'melayan' kesedihan, akhirnya saya mula mencari pekerjaan lain dan syukur AirAsia ketika itu memang sedang mencari pekerja untuk platform e-dagang pertaniannya, OurFarm.

"Tidak sangka, saya diterima masuk dan bekerja sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan.

"Walaupun saya tiada langsung pengalaman dalam bidang pertanian, namun dengan kemahiran berinteraksi dengan penumpang dapat saya gunakan pada pekerjaan sekarang.

"Saya seronok dan Alhamdulillah kerjasama daripada semua pasukan OurFarm membuatkan kerja kami lebih mudah dan kami memberi sepenuh komitmen," katanya kepada Harian Metro di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Nasihatnya, bagi sesiapa di luar sana yang terkesan dengan pengecilan operasi, tidak perlu masa lama bersedih, teruskan usaha dan jangan putus asa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OurFarm Lalitha Sivanaser berkata, sejak ditubuhkan Jun lalu, OurFarm sudah menyerap masuk semula 20 kakitangan AirAsia yang tersenarai dalam skim pemberhentian.

OurFarm adalah cabang perniagaan baharu AirAsia yang merevolusikan rantaian perniagaan berasaskan pertanian dengan menghubungkan petani terus kepada perniagaan berkaitan.

"Setakat ini, kami sudah mempunyai lebih 350 petani, penternak, pekebun, peladang dan pelbagai lagi yang mendaftar dengan OurFarm.

"Setiap hari kami menerima banyak pertanyaan daripada mereka yang berminat menjadi sebahagian OurFarm," katanya yang mengibaratkan OurFarm adalah seperti 'matchmaker' antara pengusaha pertanian dengan pengusaha perniagaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 4:01 PM