Ahmad Shauhada (kanan) dan Zulkifli (dua dari kanan) dari PPD Hulu Selangor bersama kain rentang yang dipasang di pintu masuk sekolah. FOTO Rosman Shamsudin
Ahmad Shauhada (kanan) dan Zulkifli (dua dari kanan) dari PPD Hulu Selangor bersama kain rentang yang dipasang di pintu masuk sekolah. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

BAGI mengalukan kehadiran murid Tahun Lima dan Enam, pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang memasang dua kain rentang di pintu masuk sekolah itu, hari ini.

Kain rentang pertama, di samping mengalukan kehadiran murid yang kira-kira empat bulan bercuti akibat pandemik wabak Covid-19 , juga mempunyai gambar tentang tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada murid.

Manakala , kain rentang kedua pula memaparkan ucapan selamat datang bersama gambar daripada Ketua Pengawas SK Keledang, Afiq Aariz Rosman dan Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), Muhammad Ikhwan Hakimi Supriadi.

Guru Besar SK Sri Keledang, Ahmad Shauhada Zakaria berkata, kain rentang dipasang di pintu masuk bertujuan mengalukan kehadiran murid tahun lima dan tahun enam yang sudah bercuti panjangpenularan wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

"Kain rentang ini sebagai peringatan yang jelas dan mesti dipatuhi oleh murid sekolah ini supaya aktiviti pembelajaran serta pengajaran berjalan lancar.

"Murid kelihatan ceria hari ini ketika memasuki kawasan sekolah dan bertemu guru yang berada di pintu masuk menunjukkan mereka sudah bersedia memulakan pelajaran," katanya.

Pihak sekolah juga dilawati Pegawai Angkat Sekolah , Zulkifli Muhammad Ismail daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor bagi khidmat bantu Pembukaan Semula Sekolah (PSS).

Ahmad Shauhada berkata, pihak ibu bapa dan penjaga tidak perlu risau kerana pihak sekolah memang menitikberatkan pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 12:02 PM