ANTARA kambing yang dirampas. FOTO Ihsan PGA 7
ANTARA kambing yang dirampas. FOTO Ihsan PGA 7
Syaherah Mustafa


BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 139 kambing bernilai RM166,800 yang dipercayai diseludup dari Thailand di Pasir Mas, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebelum serbuan 1.30 tengah hari itu, pihaknya terlebih dahulu membuat risikan di sebuah pangkalan haram di Bakong.

Beliau berkata, anggota kemudian mendapati enam lelaki di dalam sebuah perahu yang membawa muatan kambing dari tebing sungai di negara jiran.

Katanya, selepas tiba di pangkalan haram itu, individu terbabit menurunkan semua kambing berkenaan.

"Anggota bertindak menyerbu sebelum mereka bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki perahu," katanya.

Menurutnya, anggota turut menemui kumpulan kambing yang disorokkan di kawasan semak berdekatan yang dipercayai sudah dibawa merentas sungai lebih awal.

Beliau berkata, semua kambing itu untuk dibawa ke Balai Polis Bakong bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan. Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 10:13 AM