PDRM sehingga kini meluluskan 117 daripada 121 permohonan permit ceramah bagi PRK DUN Chini. FOTO BERNAMA
PDRM sehingga kini meluluskan 117 daripada 121 permohonan permit ceramah bagi PRK DUN Chini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini meluluskan 117 daripada 121 permohonan permit ceramah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, empat permohonan tidak diluluskan itu disebabkan antaranya permohonan kempen ceramah melebihi 250 orang dalam satu-satu masa dan lokasi ceramah sempit memungkinkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), setelah pihaknya turun membuat kajian.

Beliau berkata, sebanyak 309 aktiviti parti dijalankan sejak hari penamaan calon pada 18 Jun lalu iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain mencatatkan aktiviti terbanyak dengan 270 aktiviti.

"Sepuluh aktiviti dikenal pasti bagi calon Bebas lambang kunci (Mohd Shukri Mohd Ramli) manakala calon Bebas lambang rumah (Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin) sebanyak 29 aktiviti," katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Chini, Pekan, hari ini yang menyaksikan 17 daripada 18 anggota polis dan pesara polis menunaikan tanggungjawab itu.

Abd Jalil berkata, calon ingin memohon permit ceramah masih boleh membuat permohonan kepada PDRM pada hari bekerja.

Dalam pada itu, Abd Jalil berpuas hati dengan kempen yang berjalan lancar dan tiada laporan pelanggaran SOP diterima berkaitan aktiviti dijalankan semua calon.

Malah, katanya, setakat ini PDRM kekal menerima dua laporan polis berkaitan PRK Chini.

Dua laporan itu berkaitan perarakan sebuah pacuan empat roda diiringi 15 motosikal pada hari penamaan calon manakala satu lagi kes dilaporkan calon Bebas yang menerima gambar dalam 'WhatsApp group' komuniti warga Kuantan, apabila gambar beliau sebagai calon Bebas diubah kepada calon parti PKR.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi merebut kekosongan kerusi ditinggalkan Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lalu.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 2:39 PM