GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PEGAWAI kanan polis hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM20,000.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, suspek berusia 40 tahun ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira 5.30 petang.

"Suspek ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengadu sebagai balasan membantu dan mempercepatkan tuntutan bayaran insurans kemalangan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Alias berkata, pegawai itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam 9 pagi esok bagi tujuan permohonan reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:10 PM