Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
BERNAMA

MALAYSIA tidak akan membayar apa-apa pampasan kepada Singapura dalam penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana keputusan itu dipersetujui secara bersama, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang mengetuai Malaysia dalam perbincangan HSR dengan Singapura berkata, pasukan dari kedua-dua negara bermesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri lalu untuk berdialog lebih lanjut mengenai aspek teknikal projek mega itu.

"Pada prinsipnya, kami bersetuju bahawa projek ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara, tetapi kami perlu membincangkan lagi mengenai hal teknikal membabitkan projek itu.

"Oleh itu, kami memerlukan lebih banyak masa. Jika kami boleh memuktamadkan keseluruhan langkah dalam tempoh tiga hingga empat bulan, sudah tentu kami akan bertemu sekali lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan MITI 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 31 Mei lalu, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek dua hala bernilai RM110 billion itu sehingga 31 Disember 2020.

Projek sepanjang 350 kilometer itu ditangguhkan sejak Septemter 2018 dan akan disambung semula pada akhir Mei 2020.

Ini kali kedua projek HSR ditunda sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa membayar sejumlah S$15 juta kepada Singapura untuk menampung kos penundaan projek berkenaan.

"Mandat diberikan kepada kami apabila kami menangguhkan projek pada 2018 hingga 2020 adalah bagi melihat semula kos projek itu yang merangkumi penjajaran dan reka bentuk baharu.

"Alhamdulillah, kami berjaya mengurangkan kos HSR dengan ketara, tetapi sekarang kami bersetuju untuk meneruskan projek (diteruskan selepas ditangguhkan pada kali pertama)," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan mempunyai peruntukan mencukupi bagi membayar sebarang kos tambahan yang timbul daripada penangguhan kali kedua, Azmin berkata: "Untuk peruntukan itu, kami perlu berbincang lagi.

"Persoalan untuk pembiayaan projek ini akan dibincangkan memandangkan keupayaan fiskal negara sekarang ini adalah terhad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 8:30 PM