KEMALANGAN yang mengorbankan anggota bomba di Klebang, Ipoh. FOTO Ihsan Pembaca
KEMALANGAN yang mengorbankan anggota bomba di Klebang, Ipoh. FOTO Ihsan Pembaca
Balqis Jazimah Zahari


TIMBALAN Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar-Sungai Siput berdekatan Taman Seri Klebang di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa, Jeffrey Abdullah, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan kereta Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Klebang menuju ke Sungai Siput.

"Apabila tiba di lokasi kemalangan, mangsa yang menunggang motosikal berlanggar dengan Perodua Myvi yang dipandu daripada arah Sungai Siput yang masuk simpang sebelah kanan jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

A Asmadi berkata, pemandu Myvi berusia 36 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

"Mayat si mati diserahkan pada waris untuk urusan pengebumian dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 8:47 PM