Siasatan Jenayah(JSJ) Sarawak menyerbu dua pusat judi dalam talian di MJC Batu Kawa dan Taman Sri Moyan, Jalan Batu Kawa / Matang,Kuching, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Siasatan Jenayah(JSJ) Sarawak menyerbu dua pusat judi dalam talian di MJC Batu Kawa dan Taman Sri Moyan, Jalan Batu Kawa / Matang,Kuching, semalam. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


SEMBILAN individu termasuk tiga wanita ditahan dalam serbuan di MJC Batu Kawa dan Taman Sri Moyan, di Kuching, semalam selepas dikesan menganjurkan judi atas talian.

Difahamkan, premis itu mampu mendapat sehingga RM11,000 sehari dan serbuan jam 5 petang itu, dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) .

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, semua ahli sindiket terbabit berusia antara 18 hingga 26 tahun.

"Polis turut merampas 14 telefon bimbit dan komputer yang digunakan bagi menjalankan operasi ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pusat judi itu dipercayai sudah beroperasi sejak 11 bulan lalu.

"Serbuan dan penangkapan ini dilakukan dari maklumat yang diterima dan pengawasan yang teliti untuk mengumpulkan maklumat dan mengenal pasti lokasi yang tepat.

"Pusat ini didapati menghubungi pelanggan menggunakan WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram dan Wechat melalui pautan seperti 918kiss, Mega, LPE88, Joker 123, Mega888 XE88," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 2:46 PM