ANTARA individu yang ditahan pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA individu yang ditahan pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan. FOTO Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli


SERAMAI 20 individu termasuk lima wanita ditahan dalam dua serbuan ketika meraikan sambutan hari jadi di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, semalam.

Serbuan pertama dilakukan pada 10.30 malam membabitkan penahanan lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua remaja terbabit berasal dari sekitar daerah Timur Laut, Bukit Mertajam dan Bayan Lepas.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan sebanyak 0.68 gram serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin selain 0.78 gram dadah jenis sama dalam balutan wang kertas RM1 bernilai RM220.

"Saringan ujian air kencing mendapati enam daripada mereka positif ketamin, dan kesemuanya mendakwa datang ke apartmen terbabit bagi menyambut hari jadi.

"Mereka direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan juga dibuat mengikut Peraturan 7(1) Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Soffian berkata, pihaknya turut menahan tujuh lelaki dan dua wanita berusia 14 hingga 20 tahun ditahan dalam serbuan di unit berasingan di apartmen sama.

Katanya, mereka mendakwa menyertai sambutan hari jadi dan kes disiasat mengikut Peraturan 7(1) Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Polis juga mengenakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap 16 pelanggan termasuk dua wanita kerana didapati berkumpul di sebuah restoran di Persiaran Gurney, Georgetown.

"Selain minum minuman keras, restoran berkenaan didapati beroperasi melebihi masa yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:29 PM