ALLLAHYARHAM Nazrin Hassan
ALLLAHYARHAM Nazrin Hassan
BERNAMA

SAKSI pendakwaan ke-20 perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, menegaskan telefon model Blackberry milik mangsa tidak meletup berdasarkan keadaan fizikal telefon itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Edwin Galan Teruki memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor, hari ini, bahawa perkara itu juga disahkan menerusi laporan siasatan pihaknya di lokasi kejadian.

"Siasatan ke atas handphone (telefon bimbit), saya mendapati handphone itu tidak meletup. Kalau handphone itu meletup ia mesti berkecai atau (fizikalnya) melengkung.

"Kawasan bilik (tempat kejadian pembunuhan) juga tidak seperti terkena letupan. Jika ada (terkena letupan dari telefon bimbit), berkemungkinan dinding bilik ada kesan pecah," katanya di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berhubung keadaan telefon bimbit berkenaan.

Sebelum ini, saksi ke-15 kes itu iaitu Pegawai Penyiasat JBPM Selangor, Abdul Halim Zulkefeli mengesahkan tiada kes membabitkan telefon bimbit model BlackBerry meletup, seperti mana yang dilaporkan sebelum itu berhubung kematian Nazrin.

Galan memaklumkan, beliau turut melihat terdapat percikan kesan berwarna putih daripada gambar yang diambil di tempat kejadian.

"Percikan ini bukan cat daripada dinding tetapi adalah entiti haba yang tinggi. Kita dapati percikan itu adalah susulan dari haba tinggi kesan daripada petrol yang terbakar… bukan handphone," katanya.

Pada 3 Ogos 2018, kematian Nazrin, 47, diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Pada 12 Mac 2019, isteri Allahyarham Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki itu.

Perbicaraan bersambung 5 Jun ini.- Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 4:28 PM