Sarah Zulkifli


ABANG kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan mengakui tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, ada berbincang dengannya berhubung tuntutan insurans serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya.

Saksi pendakwaan ke-18, Abdul Aziz ,59, berkata selepas majlis tahlil arwah Nazrin, Samirah meminta pandangannya berhubung harta dan aset suaminya itu disebabkan beliau pernah menjadi peguam dalam bidang harta pusaka.

“Seingat saya, jumlah tuntutan insuran arwah adalah RM1 juta tetapi saya tidak dapat pastikan jumlah sebenar.

“Ketika itu, saya berniat membantunya kerana dia ada anak kecil dan jika ada yang boleh dibantu untuk mempercepatkan tuntutan itu,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, saksi sama berkata, ketika itu, mereka tidak berbincang panjang dan seperti sambil lalu sahaja.

Bagaimanapun, beliau berasa tidak puas hati dengan Samirah apabila pihak bomba memaklumkan telefon bimbit tidak meletup dan kebakaran berpunca dari perbuatan khianat serta penemuan kesan petrol.

Beliau berkata, Samirah pernah memberitahu laporan bedah siasat yang dibuat terhadap mayat Nazrin adalah disebabkan kecederaan letupan sebelum ini.

SAMIRAH hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
SAMIRAH hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

“Samirah sendiri beritahu bahawa dia mahu laporan bedah siasat untuk permohonan insurans, jadi dia beritahu punca kematian yang dilaporkan adalah letupan.

“Tiada sebab untuk syak wasangka terhadap kematian adik saya.” katanya.

Menceritakan perhubungannya dengan Nazrin, beliau menyifatkan dirinya seperti seorang ‘bapa’ kepada adiknya itu kerana bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masing-masing berusia 22 dan 12 tahun.

“Kami rapat walaupun jarang berjumpa kerana Nazrin sibuk dengan kerjaya.

“Nazrin seorang perahsia dan lebih suka bercerita masalah dengan rakannya,” katanya.

Saksi itu berkata, beliau tidak tahu mengenai perhubungannya dengan Samirah, selain dengan bekas isterinya juga dia tidak pernah bercerita sampailah dia mahu bercerai.

“Dia (Nazrin) banyak dan suka tolong orang melalui Cradle Fund dan saya rasa dia tidak ada musuh,” katanya.

Samirah, 44, yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 5:42 PM