Nurul Amanina Suhaini


LIMA tekong darat warga tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas dua pertuduhan menyeludup, melindungi dan menyembunyikan migran, April lalu.

Goh Wai Kheong, 52; Sulaiman Jalal, 48; Mohd Hassan Awang, 43; Mohd Fazlee Mohamad Nazir, 34 dan Nur Izzat Awang, 30, didakwa menyeludup, melindungi dan menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi pihak pendakwaan mengemukakan pindaan kes ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff, mereka dituduh kerana menyeludup, melindungi dan menyembunyikan lima migran warga Indonesia di Kampung Bukit Raja Darat, Sungai Rengit, Kota Tinggi, pada 12 hingga 20 April lalu.

 Lima tekong darat dan seorang pemandu teksi didakwa dan dua PATI warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Kota Tinggi. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Lima tekong darat dan seorang pemandu teksi didakwa dan dua PATI warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Kota Tinggi. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

Dalam pada itu, seorang pemandu teksi, Abd Wadi Mohamad, 38, dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah membenarkan dua PATI warga Indonesia menaiki teksi Toyota Innova yang disewa daripada individu lain.

Pada masa sama, dua PATI iaitu Ekawati, 21, Chandra, 20 yang bekerja sebagai tukang kebun masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tiga dan empat bulan atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa pas yang sah.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kesalahan itu dilakukan pada 3 Mei lalu di Kilometer 58, Jalan Johor - Mersing mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/63.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 2:54 PM