Pasangan kekasih ditahan di Repoh selepas positif syabu. FOTO IHSAN AADK PERLIS
Pasangan kekasih ditahan di Repoh selepas positif syabu. FOTO IHSAN AADK PERLIS
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PASANGAN kekasih antara sembilan individu yang ditahan kerana menghisap syabu dalam sebuah rumah di Repoh, Kangar dalam operasi khas oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis.

Dalam Op Cegah bermula 7 pagi semalam sehingga 4 pagi hari ini, semua suspek termasuk dua wanita berusia 18 hingga 40 tahun ditahan di lokasi berasingan.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, kekasih berusia 23 dan 18 tahun itu ditahan di rumah wanita terbabit pada 12 tengah malam tadi ketika bersembunyi dalam bilik tidur sebaik pihak berkuasa tiba di hadapan rumah.

"Sewaktu serbuan, keluarga wanita berkenaan didapati tiada di rumah selama beberapa hari dan peluang itu digunakan oleh wanita terbabit untuk bersekedudukan dengan kekasihnya sambil menghisap syabu.

"Hasil soal siasat ke atas mereka mengakui sudah melepaskan gian pada sebelah pagi semalam dan melakukannya secara bersama-sama pada Ramadan ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi sama AADK turut menahan dua beradik berusia 35 tahun dan 23 tahun di Simpang Empat selepas didapati positif syabu pada 11 pagi semalam.

"Wanita bersama adik lelakinya itu mengakui baru sahaja selesai menghisap syabu sewaktu pihak berkuasa menyerbu kediaman keluarga mereka. Ketika itu, ibu bapa mereka tiada di rumah," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menahan lima lelaki berusia 35 hingga 40 tahun selepas menjadikan sebuah rumah di i Kampung Banir Tembus sebagai port untuk menghisap syabu.

Katanya, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 4:41 PM