Noraini Mohamad, 34, sedang melayan pelanggan di Kedai Jualan Telur secara borong di Kampung Cabang Tiga. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Noraini Mohamad, 34, sedang melayan pelanggan di Kedai Jualan Telur secara borong di Kampung Cabang Tiga. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

KENAIKAN harga telur di pasaran didakwa kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga runcit yang sengaja menaikkan harga sesuka hati.

Tinjauan di Kedai Jualan Telur secara borong di Kampung Cabang Tiga dekat Kuala Terengganu mendapati harga telur tidak naik sebaliknya semakin menurun sejak seminggu yang lalu.

Telur gred AA dijual pada harga RM12 sepapan dan gred A (RM12.90) sekali gus masih kekal, manakala harga telur gred B (RM11.10), C (RM9.90) dan D (RM9) turun berbanding harga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu gred B (RM11.70), C (RM11.40) dan D (RM10.50).

Noraini Mohamad, 34, berkata, harga jualan borong untuk telur menurun berbanding ketika PKP tetapi peniaga runcit yang menawarkan harga melampau menyebabkan pelanggan merungut.

"Difahamkan, ada kedai runcit di kawasan pedalaman yang menjual telur gred AA sehingga RM18 sepapan berbanding harga runcit biasa RM14.50.

"Ramai pelanggan yang datang terus ke kedai borong kami kerana tidak sanggup lagi membeli telur di kedai runcit di kampung masing-masing yang menawarkan harga yang terlalu mahal itu.

"Pelanggan lebih sanggup datang ke kedai borong telur untuk mendapatkan bekalan telur itu berbanding membelinya di kedai runcit berdekatan kerana harga jualan yang tinggi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, kenaikan harga telur di kedai runcit bukan kerana pemborong atau pengeluar telur daripada ladang.

"Harga telur yang ditawarkan pemborong dijangka kekal sehingga Aidilfitri namun harga runcit yang ditawar peniaga tidak menentu.

"Segelintir peniaga runcit sesuka hati menaikkan harga telur itu, pelanggan yang kurang mengambil tahu mengenai harga pasaran telur akan tetap membelinya," katanya.

Menurutnya, permintaan telur gred AA dan A paling tinggi berikutan telur bersaiz besar itu digunakan untuk membuat kuih.

"Walaupun penawaran telur gred AA dan A itu semakin berkurangan kerana permintaan yang tinggi namun harga borong yang ditawarkan tetap kekal justeru tiada alasan kepada peniaga runcit untuk menaikkan harga telur," katanya.

Sementara itu Muhammad Zaim Zakaria, 33, berkata, dia berharap peniaga runcit lebih bertanggungjawab dan menawarkan harga jualan telur mengikut harga pasaran yang sepatutnya.

"Pada musim perayaan memang permintaan terhadap telur akan meningkat beberapa kali ganda oleh itu jangan mengambil kesempatan.

"Tawarkan harga mengikut harga runcit umum yang ditetapkan kebanyakan peniaga lain supaya tidak timbul rungutan kenaikan harga telur di pasaran sekarang," katanya.

Menurutnya, kenaikan harga telur di pasaran akan menjejaskan permintaan terhadah bahan mentah itu oleh itu peniaga runcit perlu telus dalam berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 3:20 PM