HANIZA Mohamed Talha. FOTO arkib NSTP
HANIZA Mohamed Talha. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


KEPUTUSAN kedudukan Haniza Mohamed Talha sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar akan ditentukan selepas proses siasatan oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses bagi menggantikan kedudukan Exco berkenaan bukan mudah dan pihaknya perlu mendapatkan pengesahan laporan disiplin yang membabitkan Haniza terlebih dulu.

"Beliau masih dalam proses tindakan disiplin dan soal siasat dan penggantungan itu dilakukan untuk menyelesaikan perkara itu (siasatan serta laporan disiplin).

"Kena tunggu siasatan selesai," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.

Sebelum ini, PKR mengambil keputusan menggantung Haniza yang juga Ketua Wanita PKR; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Cabang Kudat, Rahimah Majid.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Selangor yang dikatakan goyah selepas kononnya terdapat Adun yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Amirudin berkata, perkara itu hanya propaganda murahan yang cuba menggoncang kredibiliti kerajaan negeri.

"Mereka yang buat cerita itu (kononnya PH goyah) hanya bermimpi di siang hari.

"Saya yakin dengan sikap Adun kita yang tegas malah mereka terus komited kepada dasar serta kerajaan PH di Selangor. Saya anggap itu hanya propaganda murahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 6:47 PM