KEADAAN motosikal mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal mangsa. FOTO Ihsan Polis
Adnan Ibrahim


"SEJAK akhir-akhir ini dia sering luahkan rasa rindu kepada sanak saudara," kata Rohana Abd Majid, 51, isteri Rusli Saayon, 55, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 58 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang pagi tadi.

Menurut Rohana, suaminya juga merindui ibu dan ayahnya di Felda Penggeli Timur tetapi tidak boleh pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun luahan itu saya anggap perkara biasa bagi orang yang sudah lama tidak bertemu, namun tanpa disedari ia petanda dia akan meninggalkan kami lapan beranak untuk selamanya.

"Membuatkan kami lebih terasa adalah dia pergi meninggalkan kami ketika semua umat Islam menjalankan ibadah puasa dan akan menyambut Aidilfitri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Impian, Kluang hari ini.

Rohana berkata, bapa kepada tujuh anak berusia 21 hingga 28 tahun itu berubah menjadi pendiam dan menyendiri sejak dua hari lalu.

"Dia keluar dari rumah untuk ke tempat kerja di Kilang Kelapa Sawit Sindora kira-kira jam 6.30 pagi tadi, namun kira-kira jam 7.45 pagi saya dimaklumkan dia terlibat dalam kemalangan hanya sejauh satu kilometer untuk sampai ke simpang masuk ke tempatnya bekerja.

"Apa yang berlaku ini amat mengejutkan saya kami sekeluarga, namun tetap menerima dengan reda ketentuan Allah ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kemalangan berlaku selepas sebuah kereta dipandu lelaki berusia 32 dari arah bertentangan hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa menyebabkan berlaku perlanggaran.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah badan dan maut di tempat kejadian," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 7:01 PM