KEADAAN kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipeketatkan (PKPD) di Petaling Jaya bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang melanda negara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
KEADAAN kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipeketatkan (PKPD) di Petaling Jaya bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang melanda negara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Raja Noraina Raja Rahim


"KAMI tak tahu kawasan ini akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Terkejut juga keluar pagi tadi tengok jalan dah ditutup kawat duri," kata Safizan Yakin.

Safizan, 45, yang menetap di Jalan 2/38 Petaling Jaya antara 2,900 penduduk di kawasan berhampiran Pasar Jalan Othman yang dikenakan PKPD bermula hari ini sehingga 23 Mei.

Menurutnya, dia tidak menjangkakan kawasan tempat tinggalnya itu akan dikenakan PKPD kerana Pasar Jalan Othman yang mempunyai kes positif Covid-19 sebelum ini sudah ditutup dan keadaan dilihat terkawal.

Berikutan itu, katanya, dia panik dan bimbang sekiranya stok barangan keperluan asas di rumahnya tidak mampu bertahan sepanjang tempoh PKPD.

"Saya tinggal bersama isteri dan tiga anak berusia antara dua hingga 24 tahun.

"Setakat ini keperluan asas mencukupi cuma tidak pasti untuk tempoh berapa lama lagi. Mujur juga saya keluar beli barang keperluan semalam.

"Selain itu, saya menjalankan perniagaan roti john sepanjang Ramadan ini dengan pesanan pelanggan diambil penghantar makanan setiap hari. Tapi bila dah PKPD perniagaan saya juga terjejas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Safizan berkata, setakat ini dia tidak mempunyai maklumat mengenai PKPD dan hanya menunggu arahan pihak berkuasa seterusnya.

Katanya, dia berharap ada perantara yang boleh mendapatkan barangan keperluan asas untuk penduduk supaya mereka tidak berdepan masalah terutama yang mempunyai anak kecil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 12:06 PM