Anggota JBPM Pulau Pinang berusaha mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kemalangan di selekoh Jalan Bukit Lengkok-Kulim, Bukit Mertajam pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota JBPM Pulau Pinang berusaha mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kemalangan di selekoh Jalan Bukit Lengkok-Kulim, Bukit Mertajam pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

PEKERJA kilang maut, manakala rakannya parah selepas Proton Wira dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Jalan Bukit Lengkok-Kulim, Bukit Mertajam hari ini.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, Abdullah Ahmad, 32, maut di lokasi kejadian kerana parah di kepala, manakala Muhammad Fakrulnizam Fazli, 23, parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan ke Bukit Mertajam sebelum kenderaan dinaiki terbabas di laluan berselekoh.

"Ketika kejadian, Muhammad Fakrulnizam memandu kereta, manakala Abdullah berada di tempat duduk penumpang depan.

"Pemandu gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kereta itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan ketika melalui kawasan selekoh.

"Kedua-dua mereka tersepit dan Abdullah meninggal dunia di lokasi disebabkan parah di kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Muhammad Fakrulnizam dihantar Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut, manakala mayat Abdullah juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Pegawai Bomba Kanan II Azmi Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 6.57 pagi.

"Ketika tiba anggota bomba mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang depan sebuah kereta lalu melakukan operasi menyelamatkan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 1:57 PM