PENYERAHAN bakul bantuan barangan asasi di Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur
PENYERAHAN bakul bantuan barangan asasi di Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur
Raja Noraina Raja Rahim


RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud berkenan menyalurkan sumbangan berbuka puasa dan bakul bantuan Ramadan membabitkan peruntukan RM5.7 juta (5 juta Saudi Riyal) kepada 18 negara, termasuk Malaysia.

Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan, daripada peruntukan itu, pihaknya akan mengagihkan 15,000 hingga 20,000 pek makanan berbuka dan 1,000 bakul bantuan barangan asasi sepanjang Ramadan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, tiada majlis iftar jama'i akan diadakan seperti tahun sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengagihkan bantuan itu.

Katanya, agihan kali ini ditumpukan kepada petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan, keselamatan, selain media, pusat kuarantin dan mereka yang terjejas sepanjang PKP ini.

"Pek makanan berbuka itu akan diselaraskan Pertubuhan Ilmuan Malaysia (iLMU) dengan kerjasama strategik CDERT Ohhsem Network - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang akan menyelaras aspek keselamatan dan kawasan agihan.

"Manakala, ZeptoExpress akan menyelaras penghantaran kepada kelompok sasaran. Bakul bantuan pula sebahagiannya akan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli dan selebihnya kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama turut memaklumkan, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussin Qattan hari ini, menyempurnakan penyerahan bakul bantuan barangan asasi kepada Yang Dipertua Badan Kebajikan Orang Asli Islam Malaysia (BAKOAIS), Othman Baba untuk diagihkan kepada 300 penerima di Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Dr Mahmoud turut menyempurnakan pelepasan pertama agihan pek makanan berbuka yang diterima oleh kenderaan penghantar ZeptoExpress.

Turut hadir menyaksikan pelepasan itu Pengerusi iLMU, Datuk Ahmad Tajuddin Idris.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 11:01 PM