RAZALI dari Kampung Sekati sedang menyiapkan set kerusi dan meja menggunakan kayu terbuang di rumahnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
RAZALI dari Kampung Sekati sedang menyiapkan set kerusi dan meja menggunakan kayu terbuang di rumahnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


MASA terluang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan tukang rumah dengan membuat set kerusi dan meja menggunakan kayu terbuang di sekitar rumahnya.

Mohd Razali Abdullah, 57, dari Kampung Sekati, Kuala Terengganu, menggunakan kayu terbuang termasuk akar dan dahan pokok bagi menyiapkan kerusi dan meja itu.

"Sepanjang PKP dan Ramadan, saya mengumpul kayu terbuang di kawasan rumah sebelum mendapat idea untuk membuat set kerusi dan meja itu.

"Proses membuatnya lancar kerana saya sudah memiliki pelbagai peralatan selain pernah belajar daripada arwah bapa, Abdullah Ibrahim, 80, mengenai selok belok membuat perabot," katanya.

Mohd Razali atau lebih mesra dipanggil Pok Manang berkata, kerusi dan meja itu mula dibuat sejak PKP berkuat kuasa dan sehingga kini sudah 80 peratus siap.

Katanya, dia memulakan kerja sejak 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk menyiapkan kerusi dan meja itu.

"Saya akan menyiapkan sepenuhnya dahulu perabot itu sebelum ditawarkan untuk jualan dan difahamkan harga pasaran di kedai perabot boleh mencecah RM5,000 seunit.

"Terbaru seorang penduduk menyatakan hasratnya untuk membeli set kerusi dan meja itu dengan harga RM3,500, tetapi saya enggan menjualnya lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 7:28 PM